Monday, January 18, 2010

'jadikan membaca satu budaya'


Melalui membaca, seseorang dapat memperoleh berbagai macam pengetahuan secara jangka panjang. Penulis berpendapat, membaca dapat memberi pelbagai maklumat atau informasi yang diingini atau tidak bahkan mengasah pemikiran dan melalui budaya membaca yang dipupuk, ini akan dapat melahirkan generasi yang berintelektual dan berfikiran dinamis. Namun, untuk sampai kepada kemurnian cita-cita itu, kaedah membaca dengan tepat harus diketahui supaya dapat memahami dengan jelas tujuan dan apa yang diperoleh melalui pembacaan.



Antara faedah membaca ialah dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan yang kita perolehi pula meliputi pelbagai bidang seperti bidang bahasa, sejarah, agama, dan sains. Membaca juga boleh menambahkan tahap berbahasa kerana adakalanya melalui membaca kita akan menemui kosa kata baru. Menurut penulis, pembacaan yang berkesan oleh seseorang mampu meningkatkan tahap kefahaman dalam dirinya. Dengan itu, mampu menghasilkan penulisan yang baik sekiranya amalan ini dipupuk. Seseorang yang gemar membaca lebih cenderung menghasilkan buah penulisan yang kreatif.


Ini kerana apa yang diperolehinya melalui kekerapan membaca, ialah dapat membuahkan idea-idea di dalam pemikiran menjadi lebih kreatif dan memuntahkannya dalam bentuk penulisan. Ini terbukti jika kita memerhati hasil kreativiti tokoh-tokoh terkenal dalam dunia penulisan. Kebanyakannya mempunyai minda yang cergas dan ligat sudah tentu hasil daripada pembacaan yang bermutu. Lantaran karya yang dihasilkan juga mengagumkan. Perhatikan sahaja karya-karya yang dihasilkan oleh karyawan terkenal negara Dato’ A.Samad Said. Hampir semua karyanya mempunyai kosa kata yang berlainan dan penulisannya penuh kreatif.


Perbandingan antara individu yang membaca dengan individu yang kurang membaca jelas dapat kita lihat. Bukanlah bermaksud seseorang yang kurang pembacaan disebabkan beberapa faktor tidak boleh menulis dengan baik, tetapi seseorang yang sering membaca dapat menghasilkan tulisan yang lebih baik dan bermutu hasil daripada pengetahuan yang tinggi yang berasal dari minat membaca yang dipupuk. Terbukti dan tidak mustahil sekiranya semua individu gemar membaca dan minat ini boleh dipupuk. Ini turut memerlukan kesedaran maksimum daripada pelbagai pihak terutamanya ibu bapa dalam mencorak masa depan anak-anak mereka bahawa manfaat atau faedah yang diperoleh melalui membaca amat besar.


Anak-anak seharusnya dididik dan dipupuk dengan amalan membaca seawal usia tiga tahun. Baharulah dapat mewujudkan tokoh atau individu yang mempunyai keupayaan berbahasa yang tinggi dan berilmu seperti A.Samad Said dan Faisal Tehrani ataupun seperti tokoh-tokoh ilmuan islam, Sheikh Abdul Majeed Subhi dan lain-lain. Seterusnya mampu melahirkan masyarakat dan juga generasi yang cerdik serta celik ilmu.


Penulis adalah pembaca yang teliti. Dia meneliti unsur dan gaya bahasa menarik dan menjadi pencatat yang tekun pada ungkapan yang menarik yang ditemui semasa membaca sesuatu bahan. Melalui itu, dia berupaya menghasilkan sesuatu penulisan yang bermutu. Jelaslah bahawa kepentingan membaca tidak harus dipandang remeh kerana berkait rapat dengan masa depan umat manusia sejagat.


No comments:

Post a Comment

any response..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

XPDC menuju redha-Nya

indahnya islam ^_^

~.: cinta tu apa sih ?:.~

realiti yg anda perlu tahu

tiada Tuhan selain Allah